Sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu selepas perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta merujuk kepada trend kes #COVID19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Justeru, KPM memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan ini melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
KPM turut menyarankan agar semua ketetapan ini diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.
Sumber : Bernama