Dasar Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ialah dasar yang komprehensif bagi memastikan perkembangan yang holistik bagi kanakkanak dari 2 hingga 4 tahun. Ia menjadi asas kukuh kepada pembangunan potensi kanak-kanak berlandaskan acuan Malaysia. Dasar ini adalah pengukuh serta pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada”. golongan sasaran adalah kanak-kanak luar bandar dan di pinggir bandar.

Program pendidikan awal kanak-kanak di FELDA bermula pada tahun 1970an melalui penubuhan Pusat Literasi Keluarga (PLK). Antara objektif utama aktiviti di PLK ialah merangsang minda kanak-kanak kepada pembelajaran melalui kaedah bacaan awal yang dapat meningkatkan pusat perbendaharaan kata kanak-kanak dan secara tidak langsung memberi keyakinan diri mereka berinteraksi dengan lebih baik.

Selain itu, kaedah bercerita juga digunakan bagi menarik minat kanak-kanak seterusnya dapat menanam nilai-nilai yang baik dalam diri kanak-kanak. Aspek pembangunan fizikal, mental emosi dan intelektual juga diterapkan dalam pendidikan awal kanak-kanak di PLK. Program ini melibatkan kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun. PLK beroperasi tiga kali seminggu iaitu hari Isnin, Selasa dan Rabu selama tiga jam iaitu bermula pada 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi.

Program PLK kebanyakannya diadakan di bangunan GPW, JKKR, Balairaya dan Bilik Bacaan Rancangan yang diubahsuai bersesuaian dengan pendidikan awal kanak-kanak. Tenaga pengajar atau lebih dikenali dengan nama penggalak pembaca terdiri daripada sukarelawan daripada kalangan isteri peneroka yang berminat dan berkebolehan. FELDA telah menyediakan peruntukan tahunan untuk membiayai elaun Penggalak Pembaca.

Selain itu, FELDA turut memastikan kemudahan luaran dan dalaman untuk keselesaan kanak-kanak diutamakan dengan memberi bantuan alat pembelajaran seperti bahan bacaan dan peralatan, alat permainan luar serta bantuan pembaikan bangunan PLK.